Usaha bantu perkasa ekonomi bumiputera bukan dasar diskriminasi

0

KOTA KINABALU: Langkah yang diambil kerajaan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera tidak harus dilihat oleh mana-mana kumpulan secara serong seolah-olah ia satu dasar diskriminasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata di bawah dasar pembangunan negara, semua rakyat mendapat faedah dan bukannya dasar mendiskriminasi mana-mana pihak.

“Sewaktu zaman Dasar Ekonomi Baru, penyertaan bumiputera dalam bidang ekonomi menunjukkan peningkatan hinggalah hari ini ia mencapai hampir 25 peratus.

“Tetapi dalam masa yang sama, masyarakat bukan bumiputera juga memperolehi peningkatan pendapatan dan terlibat dalam semua aktiviti ekonomi.

“Kerana itulah ia bukannya dasar yang membantutkan pertumbuhan tetapi memajukan golongan bumiputera dan membantu meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pertemuan Khas Bersama Golongan Usahawan Negeri Sabah anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan kerjasama kerajaan negeri di sini kelmarin.

Muhyiddin berkata bagi meneruskan dan memperkukuhkah ekonomi bumiputera khususnya di Sabah, pelbagai program memperkasakan agenda bumiputera diperkenalkan menerusi pendekatan seperti Amanah Ikhtiar malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun.

“Kerajaan sedar pencapaian golongan bumiputera masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

“Masih terdapat ketidak-seimbangan semasa dari segi tahap pendapatan dan pemilikan aset ekonomi.

“Penyertaan bumiputera dalam bidang ekonomi juga masih tidak berpadanan dengan peratusan bilangan penduduk bumiputera dalam negara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera diumumkan oleh Perdana Menteri yang memberikan fokus kepada lima perkara utama dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

Menerusi AIM katanya, sejumlah RM920.6 juta disalurkan kepada 60,766 sahabat di negeri Sabah bagi membantu rakyat termiskin menjalankan perniagaan di peringkat mikro.

Muhyiddin berakta kerajaan turut menyediakan peluang kepada usahawan bumiputera mendapatkan akses yang lebih luas kepada dana-dana perniagaan.

“Usahawan di Sabah juga berpeluang untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam program keusahawanan seperti program Pembangunan Vendor yang dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Program ini akan disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata syarikat usahawan bumiputera khususnya dalam sektor pembuatan dan perindustrian di Sabah juga berpotensi dan berpeluang untuk menyertai konsortium syarikat bumiputera.

Menurutnya, bagi membangunkan usahawan bumiputera, Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang bertujuan membantu syarikat ‘start-up’ akan turut diperluaskan di Sabah.