653 syor penambahbaikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012

0

KUALA LUMPUR: Sebanyak 653 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 bagi membantu kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan memperbetul kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dan 2011.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata daripada jumlah itu, sebanyak 143 syor dikemukakan dalam Siri 1 Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Ambrin berkata pengauditan tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti pembinaan, infrastruktur, penyelenggaraan, pengurusan aset, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan hasil, pelajaran, kesihatan, modal insan, pentadbiran kontrak, sosial dan program peningkatan sosioekonomi.

Katanya laporan itu mengandungi perkara yang telah diperhatikan hasil daripada pengauditan terhadap 21 program/aktiviti/projek di bawah 15 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan pengurusan empat syarikat kerajaan.

“Pada umumnya terdapat kelemahan seperti pembayaran tidak teratur; kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai; kelewatan tidak munasabah; pembaziran; kelemahan pengurusan hasil dan kelemahan pengurusan aset kerajaan,” katanya.

Kelemahan itu antaranya disebabkan kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosedur yang ditetapkan kerajaan; kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek; tidak memantau kerja kontraktor/vendor/perunding; kurang kemahiran dalam pengurusan projek, lewat membuat keputusan mengenai perolehan, kurang peruntukan untuk penyelenggaraan aset dan kekurangan pegawai untuk mengutip hasil, katanya.

Ambrin berkata syor berkenaan dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat kerajaan berkenaan untuk tindakan pembetulan atau bagi menggelakkan kelemahan yang sama berulang.

“Jabatan ini akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkenaan terhadap syor-syor tersebut dan akan melaporkan kedudukan terkininya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013,” katanya. — Bernama

Menurut Ambrin mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara akan dibentangkan di Parlimen pada setiap kali Parlimen bersidang atau pun tiga kali setahun selaras dengan Program Transformasi Kerajaan 2.0 bagi Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membanteras rasuah.

Bagi tujuan itu, katanya Jabatan Audit Negara telah menjalankan empat jenis pengauditan iaitu Pengauditan Penyata Kewangan, Pengauditan Pematuhan, Pengauditan Prestasi dan Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan. — Bernama