Saturday, January 22

Mayat mangsa lemas di Sungai Krian dijumpai

0

DIJUMPAI: Mayat dijumpai di Sungai Krian pada awal pagi semalam dibawa ke Hospital Saratok untuk menjalani proses selanjutnya.

 

SARATOK: Mayat seorang lelaki dikhuatiri lemas ditemui pagi semalam berikutan operasi mencari dan menyelamat di Sungai Krian sejak tiga hari lepas.

Mayat Mohd Munir, 24, yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Bumimas, Sibu dan berasal dari Pendang, Kedah dijumpai penduduk di kawasan perairan Kampung Kupang iaitu lebih kurang 20 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Saratok, Kho Boo Jang mayat mangsa ditemui penduduk kampung sekitar jam 7 pagi semalam.

“Dengan penemuan mayat tersebut, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dihentikan. Operasi SAR dilancarkan sejak 29 September lalu selama tiga hari hingga awal pagi hari ini (semalam), di mana mayat mangsa dijumpai,” katanya di sini semalam.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Saratok DSP Lee Thai Lein yang dihubungi turut mengesahkan penemuan mayat itu.

Dalam kejadian tersebut, Mohd Munir bersama seorang rakannya, Mahadi terbabit dalam kemalangan di mana kereta yang dinaiki oleh mereka terjatuh ke dalam Sungai Krian di pangkalan feri Kaba Saratok sekitar jam 2 pagi Ahad lalu setelah selesai menyaksikan Pesta Kabong.

Berdasarkan laporan yang dibuat oleh rakannya, mangsa belum tahu selok-belok jalan terbabit yang mempunyai pangkalan feri untuk menyeberangi sungai.

Apabila sampai ke penghujung jalan, katanya, mangsa yang tidak sedar keadaan jalan di hadapannya terus meluru laju dan kereta mereka terus terjunam ke dalam sungai.

Menurutnya lagi, mereka berdua cuba keluar dari dalam kenderaan terbabit, namun hanya beliau dapat menyelamatkan diri manakala mangsa tidak pandai berenang.

Rakan mangsa cuba menyelamatkan mangsa, tetapi usahanya terbantut kerana mangsa sudahpun dihanyut arus deras.

Mayat mangsa yang dijumpai dibawa ke Hospital Saratok untuk siasatan lanjut dan pengecaman identiti.