Siasatan pendapatan isi rumah Jan 2014

0

TAWAU: Jabatan Perangkaan Malaysia akan menjalankan penyiasatan berhubung pendapatan dan perbelanjaan isi rumah (HIES) bermula Januari 2014 bagi mengukur tingkat pendapatan isi rumah serta pola perbelanjaan rakyat.

Timbalan Ketua Perangkaan Malaysia Ismail Yusoff berkata penyiasatan itu akan dijalankan secara sampel melalui lawatan pegawai ke kediaman yang dipilih secara rawak dan menemu duga isu rumah berkenaan.

“(Penyiasatan pendapatan isi rumah) bertujuan untuk mendapatkan (data) purata pendapatan sama ada naik atau turun dan untuk mengukur kadar kemiskinan di seluruh negara.

“Bagi perbelanjaan, kita ingin memperoleh data pola perbelanjaan…ia untuk kegunaan indeks harga pengguna bagi setiap negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Sesi Bersama Responden bertemakan ‘Kepentingan Data Perangkaan Sosial Ke Arah Kesejahteraan Negara’ di sini semalam.

Katanya penyiasatan perbelanjaan isi rumah akan dilaksanakan sepanjang 2014 mulai Januari dan setiap isi rumah yang dipilih secara rambang itu akan ditemu duga setiap hari, sepanjang satu bulan.

Justeru, beliau meminta semua respoden yang terpilih agar memberi kerjasama penuh kepada pegawai perangkaan bagi membolehkan agensi itu memperoleh maklumat berkualiti.

“Maklumat berkualiti amat penting untuk kita mengeluarkan statistik berkualiti dan berintegriti yang bertujuan untuk perancangan negara khususnya mengukur kejayaan projek-projek kerajaan dalam rancangan lima tahun Malaysia,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail berkata buat pertama kalinya Jabatan Perangkaan juga akan melaksanakan penyiasatan penggunaan dan capaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bagi isi rumah dan individu di seluruh negara, bermula hari ini. — Bernama