Khairy pandang serius Laporan Ketua Audit Negara

0

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memandang serius Laporan Ketua Audit Negara mengenai kementerian itu yang berbelanja secara tidak berhemat semasa menganjurkan Hari Belia 2012.

“Yang pasti, kami di KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan ketirisan dan kepincangan dapat diatasi.  Dana kerajaan adalah wang rakyat.  Kita mesti bertanggungjawab pada setiap sen yang dibelanjakan,” katanya.

Khairy berkata prinsip kebertanggungjawaban bersama amat bermakna baginya dan “saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya.

“Kita tidak boleh lari dari tanggungjawab dan amanah,” katanya dalam laman sosial Facebooknya semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan semalam, mendapati perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi promosi dan publisiti Hari Belia Negara 2012 berjumlah RM1.1 juta adalah tinggi dan tidak berhemat.

“Saya memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jika kita serius melakukan transformasi ke arah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan.

Rakyat tidak mahu melihat pemimpinpemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini,” katanya.

Khairy berkata beliau tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan KBS sebelum beliau dilantik sebagai menteri.

Menurut laporan itu, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di bawah KBS menggunakan sejumlah RM2.94 juta untuk perbelanjaan keseluruhan bagi program Hari Belia itu, termasuk membelanjakan RM1.6 juta untuk pembayaran artis KPop sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Khairy dalam kenyataannya itu tidak menyangkal bahawa KBS mengeluarkan perbelanjaan dan menanggung kos bagi konsert K-Pop itu kerana penaja swasta yang membuat penawaran untuk menaja tidak berbuat demikian.

“Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012.

Untuk makluman, acara konsert K-Pop dibatalkan untuk Hari Belia 2013 dan seterusnya,” katanya. — Bernama