Ejen insuran buat laporan polis kenderaan dilarikan lelaki tidak dikenali

0

KENINGAU: Seorang wanita tempatan bekerja sebagai ejen insuran berumur 39 tahun membuat laporan polis  kenderaannya dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali selepas pengadu selesai berurusan di sebuah bank di sini pada tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David berkata kejadian kira-kira jam 12.30 petang itu berlaku di tempat letak kereta di hadapan bank dalam kawasan pekan.

Katanya, ketika pengadu mahu menaiki kenderaannya jenis Isuzu DMax selepas selesai berurusan di bank itu, tiba-tiba seorang lelaki meluru ke arah pengadu dan terus merampas kunci kenderaan pengadu dan berlaku tarik menarik antara pengadu dan suspek.

“Suspek kemudian telah merampas kunci kenderaan dan melarikan kenderaan milik pengadu,” katanya.

Robert berkata orang awam yang terlihat kejadian itu telah menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah.

Katanya, bertindak di atas maklumat itu, pada hari yang sama jam kira-kira 3 petang, kenderaan pengadu telah ditemui ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kebun di Kampung Bariawa Ulu di sini.