Polis tumpas geng pecah rumah

0

KOTA MARUDU: Polis berjaya mematahkan geng pecah rumah yang dianggotai dua lelaki dan tiga wanita dalam satu serbuan di pekan Pitas, dekat sini baru-baru ini.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun itu telah dicekup ketika mereka berada di dalam kenderaan Perodua Mvyi di pekan berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi pada 24 September lepas.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui dan merampas beberapa unit telefon bimbit, tiga utas jam tangan berjenama, barangan kemas, dompet dan wang tunai mencecah nilai RM13,000 yang dipercayai hasil daripada kegiatan jenayah suspek terlibat.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superitendan Mohd Isa Yusof berkata dengan tertangkapnya kelima-lima suspek berkenaan, pihaknya percaya telah menyelesaikan dua kes curi di sekitar pekan terbabit sejak beberapa bulan lalu.

“Menerusi penahanan lima suspek itu, kita telah berjaya menyelesaikan dua kes membabitkan kegiatan curi dan pecah rumah di daerah ini.

“Kita juga sedang giat menjejaki dua lagi suspek yang turut dipercayai terbabit kegiatan jenayah itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tangkapan kelima suspek itu dilakukan susulan daripada dua kes curi pada 29 Julai dan 5 September lalu di Pekan Pitas.

“Dalam kejadian pertama iaitu 29 Julai, difahamkan kumpulan terbabit telah melarikan dua telefon bimbit milik seorang lelaki yang menginap di sebuah hotel berhampiran pekan.

“Manakala bagi kes kedua pula membabitkan mangsa iaitu pemilik kedai runcit yang melaporkan beg tangan miliknya telah dilarikan sekumpulan individu termasuk seorang wanita,” katanya.

Mohd Isa berkata hasil risikan dan bertindak atas laporan diterima, akhirnya kelima-lima suspek itu berjaya ditahan di Pekan Pitas ketika berada di dalam kenderaan mereka pada 24 September lalu.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.