Jackie Wong catat satu kejayaan bersejarah

0

KUCHING: Atlet melontar tukul besi dari Sarawak Jackie Wong Siew Cheer mencatat satu lagi kejayaan bersejarah dengan memecah rekod selama 20 tahun milik Wong Tee Kui pada Sukan Solidariti Islamik ke-3 di Palembang, Indonesia baru-baru ini.

Beliau mencatat lontaran sejauh 59.53m untuk memecah rekod lama dipegang Tee Kui dari Sarawak sejauh 58.52m semasa Sukan SEA di Singapura pada 1993.

Meskipun sekadar menduduki tempat ketujuh setelah emas dimenangi peserta Mesir Mostafa Hicham El Gamal, ia merupakan pencapaian yang cukup membanggakan buat atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

“Tee Kui adalah idola saya dan dia banyak membantu semasa saya masih di bangku sekolah.

Saya merasa sangat gembira setelah berjaya menjangkau pencapaian sejauh ini,” jelas pelajar Universiti Pertanian Malaysia (UPM) ketika dihubungi semalam.

Jackie menjalani latihan keras selama enam hari bermula dari 7.30-9 pagi dan 3.30-8 malam untuk menghadapi kejohanan tersebut.

“Syukur kerana saya berjaya mencapai impian ini.

Saya mahu merakamkan terima kasih kepada Persekutuan Olahraga Malaysia (POM), Majlis Sukan Negara (MSN), UPM, Tee Kui, ahli keluarga saya, rakan-rakan dan bekas jurulatih Thomas Ling Neng Thung yang banyak memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya selama ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada jurulatih dari China Gu Yuan yang banyak membantu mempertingkatkan kemahiran dan standardnya.

Pada Sukma 2012 di Pahang, Jackie turut mencipta rekod baharu dengan melakukan lontaran sejuah 55.25m untuk menggondol emas.

Beliau turut meraih emas dalam acara sama pada Sukma 2010 di Melaka dengan catatan sejauh 55.14m.

Manakala pada Sukan SEA 2011 di Palembang, beliau meraih gangsa dengan rekod lontaran sejauh 58.30m.

“Saya harap dapat memperbaiki prestasi pada Terbuka Malaysia dari 19-20 Oktober ini untuk melayakkan diri pada Sukan SEA di Myanmar.

Rekod baharu tersebut hanya melayakkan saya dalam kategori B,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berhadapan cabaran dari seorang lagi atlet Sarawak, Michael Sia yang turut menghampiri rekod beliau.

“Kami berlatih bersama-sama di bawah kendalian Gu Yuan dan saya optimis Michael bakal menjadi saingan hebat saya tidak lama lagi,” katanya.