DAP mulakan projek lebar pengaruh ke luar bandar

1

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak memulakan projek melebarkan pengaruh ke kawasan luar bandar (Go Rural Project) di bawah program Impian Sarawak dengan membuka lima cawangan di kawasan luar bandar.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata lima cawangan itu ialah Betong, Pakan, Batu Niah, Lawas serta Marudi dan ketika ini jawatankuasa protem telah ditubuhkan bagi setiap cawangan yang disasarkan.

“Kami (DAP) mendapat maklum balas dan sokongan yang sangat memberangsangkan daripada penduduk luar bandar.

“Ini petanda baik buat kami lebih-lebih lagi dalam usaha menakluki kawasan luar bandar di negeri ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Negeri di sini semalam.

Chong menambah, lima cabang itu merupakan kawasan yang tidak pernah dimasuki DAP sebelum ini dan merupakan antara 21 kawasan yang sudah dikenal pasti.

Sebagai permulaan, jawatankuasa protem DAP Pakan telah ditubuhkan diketuai Roslie Atol dengan kini mempunyai 55 ahli daripada pelbagai kawasan di situ.

Manakala jawatan Setiausaha Rinda Juliza Alexander, 28, Bendahari Alexander Seli, Setiausaha Hal Ehwal Wanita Sendi Atol, Setiausaha Penerangan Baran Japar sementara Bakar Giman dan Nyaling Tambi selaku ahli jawatankuasa.

Rinda turut dilantik sebagai Pembantu Khas Ahli Parlimen Sarikei Wong Ling Biu dalam usaha mendedahkannya kepada rutin kerja serta cara mengendalikan isu-isu rakyat.