Empat lelaki Myanmar ditahan kerana menyamun

0

MELAKA: Empat lelaki Myanmar anggota Geng Ismail ditahan kerana melakukan samun bersenjata ke atas seorang peniaga barangan kemas dan batu permata di rumahnya di Telok Mas di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mereka termasuk ketuanya yang dikenali sebagai Ismail yang berumur 22 tahun ditahan di Klang, Selangor pada hari kejadian dan di Cheras, Kuala Lumpur sehari kemudian.

Beliau berkata mereka menyamun peniaga tersebut dan tiga anak buahnya yang berusia antara 15 hingga 18 tahun kira-kira 1.30 pagi dan melarikan barangan kemas dan wang tunai yang keseluruhan bernilai RM100,000.

Katanya Ismail kemudiannya ditahan di sebuah rumah di Jalan Sungai Putus, Klang kira-kira jam 10.45 malam dan mengaku telah merancang kegiatan samun tersebut.

Raja Shahrom berkata tiga lagi anggota kumpulan tersebut kemudiannya ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Shamelin Perkasa, Cheras pada jam 5 pagi Sabtu.

Beliau berkata polis menjumpai pelbagai barangan di pangsapuri itu dipercayai hasil pelbagai kegiatan jenayah yang dilakukan mereka termasuk 20 buah telefon bimbit, 57 bentuk cincin, 27 utas rantai leher, sembilan utas gelang tangan, empat bilah keris dan sebilah pedang samurai.

Ismail didapati mempunyai status penduduk tetap manakala tiga lagi mendakwa pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Raja Shahrom berkata kumpulan ini dipercayai turut terbabit dalam beberapa jenayah termasuk samun dan ragut di sekitar Cheras dan Kuala Lumpur. — Bernama