Kedah bantu peniaga di Pekan Pendang terlibat kebakaran

0

PENDANG: Kerajaan Kedah akan berbincang dengan Majlis Daerah Pendang bagi membantu 14 peniaga di Bangunan Seroja di sini yang terbabit dalam kebakaran awal pagi kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Kedah Datuk Suraya Yaacob berkata pihaknya dan Majlis Daerah Pendang akan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan peniaga terbabit dapat meneruskan perniagaan mereka.

“Buat masa sekarang kita belum boleh ambil apa-apa tindakan kerana kita belum berbincang dengan pihak majlis daerah, tetapi saya memberi jaminan serta aku janji bahawa penyelesaian jangka pendek dan panjang akan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melawat peniaga terbabit semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan tempat berniaga sementara untuk peniaga terbabit namun lokasinya belum dapat diputuskan.

“…kita perlu ambil kira pelbagai aspek seperti lalu lintas, tempat letak kereta dan keselamatan barangan mereka (sebelum memutuskan tempat berniaga sementara ini),” katanya. — Bernama