Saturday, January 23

Tiga litar mat rempit digempur, polis keluar 272 saman

0

KUANTAN: Tiga lokasi yang menjadi litar mat rempit di sekitar Bandar Pusat Jengka digempur polis Cawangan Trafik Kontinjen Pahang dalam Ops Bersepadu Banteras Samseng Jalanan kelmarin.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata antara lokasi yang digempur ialah jalan di depan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka, jalan di depan Hospital Jengka dan jalan di depan Balora Mastika.

Beliau berkata lokasi berkenaan menjadi tumpuan mat rempit terutama remaja berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun dari sekitar Jengka, termasuk segelintir penuntut UiTM yang menyertainya setiap malam minggu dan cuti umum.

Sharifuddin berkata kegiatan merempit di lokasi itu biasanya bermula sekitar jam 11 malam hingga 1 pagi, dan kumpulan terbabit dilapor menjadikan dua stesen minyak berhampiran sebagai tempat berkumpul.

“Dalam ops bersepadu semalam (kelmarin), kita mengeluarkan 272 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan, iaitu 186 saman membabitkan motosikal, 84 untuk kereta dan dua melibatkan lain-lain kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sharifuddin berkata selain merempit, penunggang dikesan tidak memakai topi keledar, menunggang tanpa lesen dan menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki kerana menunggang motosikal yang dilaporkan dicuri di Klang, Selangor.

Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membendung kegiatan merempit yang menjadi antara penyumbang kes kemalangan maut di Pahang.

Beliau berkata statistik kemalangan maut sepanjang Januari hingga September tahun ini menunjukkan peningkatan daripada 367 kes bagi tempoh sama pada 2012 kepada 402 yang menyaksikan kematian tertinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. — Bernama