APMM catat lapan kes berprofil tinggi Jan-Okt 2013

0

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan lapan kes berprofil tinggi dari Januari hingg Oktober tahun ini termasuk kejayaan merampas sejumlah peluru hidup di Labuan pada September lepas.

Menurut Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad, kejayaan terbabit turut melibatkan rampasan rokok, arak, petrol bersubsidi, minyak sawit, penahanan kapal kargo dan bot nelayan Vietnam.

“Rampasan rokok dan arak tanpa duti Kastam dan sejumlah peluru hidup dibuat pada 18 September lalu pada jam 10.25 malam oleh Kilat 40 DM14 Labuan dan siasatan dibuka di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Senjata 1960,” katanya.

Affandi berkata demikian pada sidang media di Pejabat APMM Tawau di sini kelmarin yang turut dihadiri Pengarah Operasi Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Kapten Adam Aziz dan Ketua Penguatkuasan Maritim Daerah Tawau, Komander Anor Jaafar.

Beliau berkata pihaknya turut berhasil menggagalkan cubaan penyeludupan keluar minyak petrol bersubsidi (RON95) sebanyak 20 tong pada 6 September kira-kira jam 11.30 malam dan Ketam Kelapa pada 15 Ogos lepas sekitar jam 12.10 tengah hari.

“Kejayaan ini dilakar menerusi KM Libaran DM18 Tawau dan siasatan dibuat melalui Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011,” katanya sambil menambah, rampasan Ketam Kelapa pula dibuat oleh KM Pintar DM18 Tawau.

Beliau berkata KM Ikhlas DM15 Kota Kinabalu pula menahan dua kapal kargo SJN 00873K dan MT WIN 2 pada 16 Ogos kerana disyaki melakukan ‘ship to ship’ tanpa kelulusan dan bersauh di luar kawasan dibenarkan – disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Menurutnya, Kilat 37 DM17 Sandakan pula menahan sebuah bot yang disyaki membawa minyak sawit mentah pada 4 Ogos lalu kira-kira jam 3.10 pagi dengan siasatan dibuka menerusi Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

“Kita juga turut mencatatkan kejayaan melalui DM14 Labuan yang berhasil menahan sebuah bot laju dan lori 10 tan kerana menjalankan aktiviti penyeludupan rokok bebas cukai dari Labuan ke Lawas pada 26 Julai lalu kira-kira jam 6 petang.

“Kita berjaya merampas sebanyak 225 kotak rokok jenama Era dan siasatan pula dijalankan menerusi Akta Kastam,” katanya selain mendedahkan pihak APMM turut berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara.

Menurut Affandi, APMM Tawau mencatatkan kejayaan itu pada 21 Februari lalu berikutan kejayaan yang dibuat oleh KM Adil DM14 Labuan yang menahan 10 warga Vietnam untuk siasatan di bawah Akta Perikanan.

Sementara satu lagi kejayaan berprofil tinggi APMM diraih Penggalang 21 DM15 Kota kinabalu yang menahan sebuah bot laju di perairan Kudat kerana disyaki menyeludup rokok kontraban dari Selatan Filipina pada 11 Januari sekitar jam 5 petang.