Pesawat MASWing terhempas, seorang penumpang maut

0

PIHAK Bomba sedang melakukan operasi menyelamat

KUDAT: Seorang maut manakala lima lagi cedera parah apabila pesawat Twin Otter MASWing yang membawa 16 orang penumpang membuat pendaratan kecemasan di Kg Sinsan di sini, kelmarin.

Dipercayai pesawat DHC6 9M-MDM, MH3002 yang membawa 16 orang penumpang berlepas daripada Kota Kinabalu ke Kudat itu telah telah terbabas daripada landasan dan mendarat serta melanggar sebuah rumah kosong yang berhampiran sekitar jam 2.50 petang.

Ketua Polis Daerah, DSP Dawi Ossen ketika dihubungi berkata seorang penumpang lelaki meninggal dunia akibat cedera parah di hospital Kudat ketika menerima rawatan.

“Lima orang yang lain masih menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan serius tetapi stabil,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Dawi berkata mereka yang cedera parah adalah juruterbang dan pembantu juruterbang.

“Kami masih menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi mencari punca sebenar kejadian,” katanya sambil menambah, para penumpang yang lain dan krew kapal juga turut dibawa ke hospital.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penolong Penguasa, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sabah, Mohd Affendy Ramin berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 3.15 petang.

“Sepasukan anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian dalam masa beberapa minit,” katanya.

Menurutnya, terdapat tumpahan minyak di tempat kejadian namun pihak Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal keadaan sebelum berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Manakala salah seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan berkata angin kencang menyebabkan pesawat berkenaan teralih arah akibat angin kuat dan menghala ke kawasan rumah sebelum melanggarnya.

Saksi berkenaan berkata pihak ambulan yang tiba ke tempat kejadian bergegas membawa penumpang yang cedera parah iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang ke Hospital Kudat.

Katanya, kedua-dua juruterbang itu berada dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri.

Menurut beliau kawasan kejadian kemudiannya ditutup setibanya pihak polis tetapi beliau masih mendengar bahawa juruterbang itu berada dalam keadaan koma dan perlu segera dibawa ke hospital.

Beliau berkata pesawat itu terbabas dari landasan dan terhempas di kawasan rumah kosong berkenaan.

“Salah satu sayap pesawat juga patah akibat terkena sebuah bas dan pokok yang berada di laman rumah,” katanya.