Ambil langkah positif terhadap kesihatan mental, sedar kepentingannya: Dr Razjeh

0

SIBU: Semua pihak tanpa mengira peringkat usia harus bersama-sama mengambil langkah yang positif terhadap kesihatan mental dan sedar akan kepentingan kesihatan mental.

Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Sibu Dr Razjeh Robert Drahman berkata, stigma sosial dapat dikurangkan melalui pendedahan jenis penyakit dan rawatan psikiatrik.

“Selain itu, kita perlu meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit mental dan menggalakkan kesejahteraan dalam golongan warga emas,” jelasnya.

Di samping itu katanya, masyarakat perlu mendidik diri sendiri bagi mengelak stigma negatif terhadap penyakit dan rawatan penyakit mental.

“Kemudahan perkhidmatan kesihatan golongan warga emas perlu menjangkau konteks hospital dan pusatpusat kesihatan konvensional.

“Stigma boleh menyisihkan warga emas atau mereka yang mengalami penyakit mental.

“Stigma terhadap penyakit mental sering menghalang warga emas untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.

Dr Razjeh berkata demikian pada Hari Terbuka Pusat Komuniti Kesihatan Mental dan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2013 di Pusat Komuniti Kesihatan Mental, Klinik Kesihatan Jalan Oya, semalam.

Tambah beliau, terdapat beberapa isu berkaitan kesihatan mental di kalangan warga tua telah dikenal pasti, antaranya berpunca daripada corak personaliti.

“Corak personaliti dan cara berfikir individu warga emas yang memberi kesan terhadap mereka untuk bertindak balas terhadap persekitaran ketika melalui usia tua.

“Maka, terdapat individu warga emas yang berasa amat tertekan dengan kemerosotan fungsi kognitif, emosi, fizikal dan tingkah laku,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Razjeh berkata semua isu itu wajar diberi perhatian yang baik bagi membantu warga emas mengekalkan tahap kesihatan mental yang sempurna pada usia tua.

Majlis tersebut disempurnakan oleh wakil Pengarah Hospital Sibu merangkap Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Nolan Teo.

Hadir sama Naib Presiden Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu Penghulu Kong Hian Khim, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCI) Koh Soon Hock dan Presiden Persekutuan Persatuan Klan Chai Dhen Sian.

Turut diadakan ceramah kesihatan mental dan warga tua, gerai pameran dan jualan serta kaunter pemeriksaan kesihatan pada program yang berlangsung selama sehari itu.