Aspek inovasi tingkat produktiviti sektor awam

0

SARIKEI: Penekanan kepada aspek inovasi di sektor awam adalah berobjektif memberi peningkatan secara berganda kepada produktiviti sektor awam.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata, konsep ini diperkenalkan sebagai satu usaha pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian awam, iaitu berdasarkan inovasi dan kreativiti.

“Inovasi dalam perkhidmatan awam adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.

“Pelaksanaan idea-idea ini pada akhirnya akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memberi faedah kepada pelanggan,” katanya.

Dr Jerip berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Inovasi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di Dewan Suarah Sarikei, kelmarin.

Dalam ucapannya juga, Dr Jerip menyeru agar setiap organisasi berubah mengikut keadaan semasa.

Katanya, jika sesebuah organisasi masih berada di takuk lama tanpa ada sebarang perubahan ke arah kecemerlangan, nescaya sesebuah organisasi itu akan tewas untuk bersaing dengan organisasi pesaingnya.

“Jika situasi ini berlaku, lambat-laun organisasi berkenaan akan tutup dan terus terkubur.

“Justeru, inovasi berterusan diperlukan dalam mempelbagaikan dimensi bukan hanya mencakupi prosedur kerja tetapi juga inovasi dalam cara berfikir, bertindak dan sanggup berubah supaya terus relevan dan selari dengan keperluan semasa.

“Oleh itu, penjawat awam harus keluar daripada  zon selesa dan bersedia menghadapi cabaran mengadaptasi diri mereka dengan arus perubahan teknologi serta mentransformasikan minda mereka ke arah cara kerja yang kreatif dan inovatif.

“Kejayaan inovasi dalam sesebuah organisasi banyak bergantung kepada sokongan dan komitmen semua pihak terutama pihak pengurusan tertinggi organisasi,” jelasnya.

Tambahnya, tanpa komitmen semua pihak, inovasi akan tinggal sekadar idea tanpa kesan penambahbaikan yang nyata.

“Kita yakin inovasi adalah penyumbang kepada kualiti kehidupan. Contohnya, dengan adanya pelbagai peralatan yang canggih di hospital dan klinik kerajaan, ia akan memudahkan rakyat mendapat perkhidmatan yang optimum.

“Begitu juga dengan pengambilan ubat di farmasi, ia akan menjadi semakin mudah dengan adanya Sistem Ubat Bersepadu.

“Sementara itu yang terbaharu, pihak kita telah menyediakan perkhidmatan Klinik Katarak 1Malaysia yang juga merupakan satu inovasi dalam perkhidmatan mata di Sarawak yang bakal membolehkan masyarakat Sarawak khasnya, mendapatkan rawatan mata,” kata Dr Jerip lagi.

Dalam program ini, turut diadakan pertandingan inovasi yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, perkhidmatan, produk dan teknikal.

Kategori inovasi perkhidmatan  merujuk kepada pelaksanaan perkhidmatan baharu atau pembaharuan kepada amalan perkhidmatan sedia ada.

Bagi kategori inovasi produk pula, ia merujuk kepada pengenalan sesuatu produk yang baharu atau pembaharuan atau penambahbaikan ke atas produk sedia ada.

Sementara itu bagi inovasi teknikal, ia merujuk kepada pengenalan atau pembaharuan yang dilaksanakan dalam teknologi atau alat pemprosesan maklumat yang merangkumi aspek ICT, bioteknologi atau nano teknologi.

Dalam pertandingan tersebut, seramai 6 penyertaan adalah untuk kategori inovasi perkhidmatan, tujuh untuk kategori inovasi produk, manakala tiga bagi kategori teknikal.

Untuk kategori inovasi perkhidmatan dan inovasi produk, tempat pertama pertandingan dimenangi oleh Penolong Pegawai Perubatan Yiu Kim Beng daripada Klinik Kesihatan Lubok Antu manakala untuk kategori teknikal johan  menjadi milik Ketua Jabatan O&G, Dr Haris Njoo Suharjono daripada Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Umum Sarawak.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datu Dr Zulkifli Jantan.