Enam nelayan selamat selepas bot karam di perairan Kudat

0

KOTA KINABALU: Enam nelayan tempatan berjaya diselamatkan selepas bot mereka karam di perairan Telaga dekat Kudat, kira-kira 190 kilometer dari sini, kelmarin.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kudat, Lt Komander Maritim Norihan Ngah berkata semua nelayan berumur lingkungan 13 hingga 59 tahun itu diselamatkan selepas tiga jam berada di laut.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Nelayan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Tigabu ke Kudat sebelum bot mereka mengalami kerosakan enjin, katanya.

Beliau turut menasihatkan nelayan supaya berhati-hati di perairan dekat Kudat kerana keadaan laut bergelora akibat cuaca buruk dijangka berlanjutan sehingga hujung tahun ini. — Bernama