Fadillah, Empiang terus terajui Pemuda dan Wanita PBB

0

KUCHING: Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kekal disandang masing-masing Datuk Fadillah Yusof dan Dato Sri Empiang Jabu, memandangkan tidak ada pertandingan kedua-dua jawatan bagi Konvensyen PBB-13 ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Konvensyen Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata pencalonan bagi kesemua Majlis Tertinggi kedua-dua pergerakan yang ditutup jam 5 petang semalam menyaksikan calon bagi ketua Pemuda dan Wanita masing-masing seorang.

“Bagi jawatan Ketua Pemuda kita menerima seorang calon iaitu Datuk Fadillah Yusof maka dengan itu saya mengumumkan beliau kekal menerajui Pemuda PBB.

“Begitu juga bagi Ketua Wanita PBB, kita menerima seorang sahaja calon yang sekali gus menyaksikan tidak ada pertandingan bagi jawatan ini, iaitu Dato Sri Empiang Jabu kekal menyandang jawatan Ketua Wanita PBB,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PBB di sini, semalam.

Sementara bagi Timbalan Ketua Pemuda yang dahulunya disandang Daniel Jubang Kanyan kini disandang Gerald Rentap Jabu selepas beliau menang tanpa bertanding, kata Asfia.

Manakala bagi tiga Naib Ketua Pemuda yang terdiri daripada dua kuota sayap Pesaka dan satu sayap Bumiputera akan menyaksikan lapan calon akan bertanding.

Bagi kuota Bumiputera, empat calon akan bertanding iaitu Ripin Lamat, Hilmi Morsili, Abdul Aziz Adenan dan Haidel Heli sementara bagi dua kuota sayap Pesaka diagihkan kepada satu untuk Iban dan satu untuk Orang Ulu/Bidayuh.

Bagaimanapun tidak ada pertandingan bagi Pesaka Iban selepas Bell Bernard Aggan menang tanpa bertanding sementara kuota bagi Bidayuh/Orang Ulu tiga calon bertanding iaitu Dennis Ngau, Stanley Sila dan Henry Kilau Talek.

“Bagi Majlis Tertinggi Pemuda pula, terdapat 15 jawatan iaitu lapan bagi kuota sayap Bumiputera dan tujuh jawatan bagi sayap Pesaka, kita akan menyaksikan 39 calon bertanding.

“Bagi lapan jawatan sayap Bumiputera terdapat 20 calon bertanding sementara 19 calon bertanding untuk sayap Pesaka,” kata Asfia.

Bagi Pergerakan Wanita, kebanyakan jawatan tertinggi tidak ada cabaran sekali gus menyaksikan tidak ada pertandingan termasuk Timbalan Ketua Wanita yang kekal disandang Datuk Fatimah Abdullah.

Ia termasuk juga tiga Naib Ketua Wanita yang turut tidak ada pertandingan dan mereka terdiri daripada Datuk Rohani Abdul Karim dan Senator Datuk Dayang Madinah Tun Abang Openg (sayap Bumiputera) serta Datin Catherine Gramong (sayap Pesaka).

“Untuk Majlis Tertinggi wanita pula juga sama terdapat 15 jawatan iaitu lapan dan tujuh untuk Pesaka dan untuk Bumiputera yang semuanya menang tanpa bertanding.

“Bagaimanapun bagi Pesaka, hanya menyaksikan Pesaka Iban yang mempunyai tiga kuota ada pertandingan iaitu empat calon bertanding Lindalyn Kawi, Elizabeth Nail Wen, Natasha Nasa Douglas Uggah dan Phyilis Empina Tanggai,” katanya sambil memberitahu sementara kuota bagi dua untuk Bidayuh dan dua untuk Orang Ulu tidak ada pertandingan.

Mengulas lanjut Asfia berkata, hari pembuangan undi bagi kesemua jawatan yang dipertandingkan untuk kedua-dua Pergerakan Pemuda dan Wanita akan diadakan pada 13 Oktober (Ahad ini) di Ibu Pejabat PBB pada jam 11 pagi.

“Manakala keputusan atau pemilihan bagi kesemua jawatan ini akan diadakan pada 18 Oktober ini iaitu semasa konvensyen,” katanya.