Siasat terperinci nahas pesawat MASwings

0

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mahu siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas pesawat Twin Otter MASwings di Kudat semalam yang mengakibatkan dua terkorban manakala dua lagi cedera.

Sambil mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga serta mangsa yang terlibat dalam nahas itu, beliau meminta mereka yang terlibat supaya memberi sepenuh kerjasama kepada pasukan penyiasat.

Beliau berkata, kerajaan negeri serta rakyat Sabah berasa sedih dan simpati kepada mereka yang terlibat dalam nahas itu.

“Kami berharap mereka tabah menghadapi musibah itu dan mendoakan mangsa yang cedera sembuh dengan segera,” katanya di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 2.50 petang itu, pesawat membawa 16 orang termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang berlepas dari Kota Kinabalu dan terbabas ketika mendarat di Landasan Terbang Kudat lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Sin San.

Dua terbunuh dalam nahas itu iaitu seorang penumpang dikenali sebagai Tan Ah Chai, 69, mati ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Kudat.

Seorang lagi ialah pembantu juruterbang, Marc Joel Bansh, 23, mati di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. — Bernama