Lelaki dikhuatiri lemas di Sg Rajang

0

SIBU: Kegirangan sekumpulan lelaki bermain bot menggunakan enjin pam air, berakhir dengan tergedi apabila salah seorang rakan mereka hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Rajang.

Mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori di sebuah syarikat di sini, dikenali sebagai Wilson Brarie David, 19, dari Rumah Betong Begol/ Lot 431 Tanjung Latap di sini.

Seorang saudara mangsa yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi semalam berkata, kejadian berlaku awal petang kelmarin berhampiran jambatan SK Tanjung Latap.

“Mangsa tiba agak lewat daripada kami semua, sebelum dia meminta kebenaran untuk meminjam bot berkenaan.

“Saya yang tidak menyangka berlaku perkara buruk bersetuju meminjamkan bot kepadanya,” ujarnya sambil mendakwa mangsa tidak pandai berenang.

Beberapa minit selepas berlepas dari kawasan tebing, enjin bot mangsa mati secara tiba-tiba.

Bot yang dinaiki mangsa turut dimasuki air menyebabkan dia mula panik.

Saudara mangsa yang tersentak dengan kejadian itu, kemudian berenang ke tengah sungai untuk membantu mangsa.

“Entah bagaimana, bot yang dinaikinya terbalik dan dia cuba untuk berpaut pada bot berkenaan.

“Saya berjaya mendapatkan bot berkenaan dan cuba mendapatkanya semula… tetapi dia terus tenggelam dan hilang dari pandangan,” katanya.

Mangsa mempunyai seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia satu tahun.

Sementara itu, rakan mangsa yang lain terus berusaha mendapatkan bantuan penduduk rumah panjang.

Seramai empat anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Sungai Merah dan dua anggota polis Unit Marin Sibu bergegas ke tempat kejadian.

Sehingga berita ini ditulis, gerakan mencari dan menyelamat mangsa giat diusahakan.