Penganggur miliki barang curi dipenjara enam minggu

0

MIRI: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam minggu oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam kerana kesalahan memiliki barang curi.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 6 September lalu.

Mohammad Jeffry Abdul Wahab, 34, dari Desa Pujut 2, Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 37 (1) Undang-undang Kesalahan Kecil 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati memiliki beberapa barang curi seperti dua unit telefon bimbit masing-masing jenis Colby dan Samsung Duos serta seutas rantai berwarna kuning berserta satu kad pajak gadai.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.10 pagi, 5 September lalu di sebuah rumah di Desa Senadin Fasa 4 di sini.

Ketika rayuan, tertuduh memohon hukuman yang ringan dan meminta hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya dikuatkuasakan mulai tarikh dia ditangkap.

Terdahulu mahkamah diberitahu, tertuduh mengaku tidak bersalah semasa sebutan pertama kes dan dibenarkan dibebas dengan ikat jamin namun tertuduh ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sehingga semalam kerana gagal menjelaskan wang jaminan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.