Polis berkas 18 penagih dalam Ops Tapis di Raub

0

KUANTAN: Polis memberkas 18 penagih dadah lelaki dalam satu operasi di kawasan ladang kelapa sawit FELDA Tersang, Cheroh dekat Raub, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Shamsuddin Wan Osman berkata mereka ditahan sepasukan polis dari Cawangan Narkotik IPD Raub dan anggota Pondok Polis Tersang dalam Ops Tapis yang bermula jam 5 pagi dan berakhir pada jam 1 petang.

“Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun,” katanya kepada Bernama kelmarin.

Beliau berkata polis melakukan operasi di kawasan itu selepas mendapat maklumat orang awam.

“Mereka yang ditangkap itu bekerja sebagai buruh ladang, selain penganggur yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat melepaskan gian,” katanya.

Wan Shamsuddin berkata 13 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah ke tubuh sendiri.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah agar menghubungi hotline IPD Raub di talian 09-3554 999. — Bernama