Polis Sabah rampas dadah bernilai RM220,000

0

KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 932.82 gram yang dianggar bernilai RM220,000 dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di daerah Penampang, Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dalam serbuan pada jam 3 petang itu.

“Ketika serbuan dibuat, suspek cuba membuang sesuatu melalui tingkap rumah tetapi berjaya dihalang dan polis mendapati beg plastik itu mengandungi hablur kristal disyaki syabu dengan berat kasar 428.58 gram,” katanya pada sidang media sempena perhimpunan bulanan polis kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kepayan semalam.

Beliau berkata suspek memiliki rekod jenayah berkaitan narkotik dan pernah ditahan pada 2010 selain positif dadah.

Dalam perkembangan lain, Hamza berkata pasukan Polis Marin menahan tiga suspek yang cuba membawa masuk 880 batang kayu bernilai RM180,700 pada Sabtu lepas.

“Dalam Ops Cantas Laut Khas pada jam 6 pagi yang dibuat di Sungai Kalabakan, Polis Marin berjaya mengesan 60 kayu balak beserta ratusan kayu nibong cuba dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran, iaitu Indonesia,” katanya sambil menambah suspek yang berumur 30 hingga 49 tahun gagal menunjukkan permit apabila diminta berbuat demikian.

Hamza berkata mereka diserah kepada Jabatan Perhutanan dan disiasat mengikut Seksyen 30(g) Enakmen Perhutanan 1968. — Bernama