Rapatkan kembali barisan sayap parti: Ismail Sabri

0

BERA: Semua barisan kepimpinan sayap UMNO dan anggotanya perlu merapatkan kembali barisan mereka bagi meletakkan parti itu di landasan betul untuk menghadapi cabaran mendatang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan pemilihan sayap UMNO meliputi pergerakan Wa-nita, Pemuda dan Puteri itu perlulah diterima anggota parti dan semua calon yang bertanding.

“Musuh hanya akan gentar jika kita bersatu serta menganjurkan pelbagai program dan aktiviti. Kita akan bertambah kuat bila bersatu dan akan diyakini rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata sudah tiba masanya semua barisan kepimpinan sama ada yang menang mahupun yang kalah, kembali bekerja kuat serta bersatu hati dalam membela nasib bangsa, agama dan negara.

Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata barisan kepimpinan sayap parti perlulah mula menyusun strategi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang pastinya lebih mencabar.

“Jika semasa berkempen pemilihan parti kita sanggup bersengkang mata, selepas ini kita perlu tingkatkan kerja dengan turun padang menemui masyarakat dan rakyat untuk menarik mereka supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata sayap parti merupakan jentera penting kepada UMNO yang akan menentukan hala tuju parti itu di masa depan.

“Peranan sayap bukan- lah setakat menganjur kegiatan dan aktiviti, tetapi perlu lebih mendekati golo-ngan muda bagi menarik mereka menyertai UMNO kerana  masih ramai yang belum lagi menjadi anggota mana-mana parti politik dan mendaftar sebagai pemilih pada pilihan raya umum,” katanya. — Bernama