Suami isteri berimej alim bawa ganja 10kg

0

KANGAR: Sepasang suami isteri berimej alim ditahan di Arau dekat sini, Sabtu lepas dan polis menemui 10 kilogram ketulan mampat disyaki ganja dalam sebuah kereta.

Pasangan berusia 36 dan 32 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan polis di pekarangan Kompleks Tok Arau pada jam 8.30 malam hasil maklumat orang ramai dan risikan polis.

Ketua Polis Perlis Datul Zull Aznam Haron berkata ketika ditahan pasangan itu membawa bersama empat anak mereka berusia satu hingga lapan tahun dan kesemua anak pasangan itu telah diserah kepada waris terdekat.

Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Saga berhampiran sebuah restoran, polis menemui satu plastik hitam berisi 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 10 kiloram bernilai kira-kira RM15,500, katanya.

“Lelaki yang ditahan itu berkopiah dan berjanggut manakala isterinya bertudung dan anak-anak mereka juga berkopiah,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini semalam.

Beliau berkata pasangan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori. — Bernama