Sunday, November 28

Wanita buat laporan polis dakwa suami mengamuk libas samurai

0

KUCHING: Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa suaminya mengamuk sambil melibas pedang samurai di kediamannya pada pagi semalam.

Wanita berusia 35 tahun yang juga seorang peniaga itu, terkejut seawal jam 8.30 pagi apabila melihat suaminya membawa pedang samurai dan menjerit kepada ahli keluarganya.

Akibat ketakutan, dia memberitahu adik perempuannya untuk menghubungi polis namun suaminya berhenti mengamuk setelah ketibaan pihak polis.

Suaminya kemudian dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Dalam kes berasingan, seorang jurutera dari Jerman mendakwa cermin hadapan kereta Ford Ranger yang disewanya telah dipecahkan di hadapan sebuah hospital swasta pada malam Ahad lepas.

Dia dan rakannya kemudiannya membuat laporan polis di Simpang Tiga setelah mengetahui mengenainya pada jam 12.30 pagi dan mendapati unit GPS juga telah dicuri.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua kes tersebut.