Bantuan peralatan rumah untuk mangsa kebakaran dipertimbang

0

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah akan mempertimbangkan bantuan peralatan rumah sebanyak RM2,000 kepada penduduk yang mengalami musibah kebakaran.

Menterinya Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata perkara itu akan diperhalusi kementeriannya bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri bagi mengurangkan beban mangsa kebakaran.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan daripada syarikat BTC, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Sabah dan ADABI kepada 54 ketua keluarga mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Menggatal, dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Eksekutif BTC Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar dan anggota Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO  Bahagian Sepanggar.

Jainab berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang ditimpa musibah seperti kebakaran dan bencana alam.

“Setakat ini untuk Dewan Undangan Negeri Karambunai lebih kurang 600 buah rumah telah terbakar. Kita menghadapi kesukaran untuk menempatkan mereka dan alternatifnya adalah membina rumah panjang atau menempatkan mereka di kawasan seperti Telipok Ria atau Warisan,” kata Jainab.

Beliau turut menasihati masyarakat di kawasannya agar membina rumah yang baik di tempat yang kurang risiko kebakaran.

“Saya juga mengharapkan kepada masyarakat untuk sentiasa menjaga keselamatan dan mendidik anak-anak tentang bahayanya api yang akan menyebabkan kebakaran. Pendidikan ini penting kerana ia akan mengajar anak-anak erti keselamatan dalam menjaga tempat tinggal sendiri,” katanya. — Bernama