Polis berkas suspek utama kes curi motosikal

0

TAWAU: Seorang suspek kes curi motosikal diberkas polis semasa sedang leka ‘membongkar’ sebuah motosikal di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Imam Galundang kira-kira jam 8 malam Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata, suspek berusia 21 tahun diberkas dalam tempoh 24 jam selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang pemilik motosikal yang mengadu kehilangan motosikalnya.

“Pengadu melaporkan kes kehilangan motosikalnya jenis Honda EX5 bernombor ST8006 U di Taman King Fook, Jalan Utara Baru kira-kira jam 6.30 pagi pada hari yang sama suspek ditangkap,” katanya kepada media di sini kelmarin.

Awang berkata, pengadu, 30, mengatakan motosikalnya diletakkan di kawasan rumah dalam keadaan pintu pagar bertutup rapat, namun tidak berkunci sehinggalah lelaki terbabit menyedari motosikalnya hilang dicuri.

Menurut beliau, pihak polis menjalankan pemeriksaan di rumah suspek dan  mendapati nombor chasis serta enjin motosikal yang ‘dibongkar’ suspek sepadan ciri-ciri motosikal mangsa.

“Pasukan kita yang menjalankan pemeriksaan di lokasi suspek diberkas berjaya menangkap lelaki terbabit walaupun dia cuba melarikan diri ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.

Beliau berkata pihak polis merampas dua rangka motosikal daripada suspek termasuk motosikal mangsa dan semasa soal siasat dijalankan lelaki berkenaan mendakwa baharu sahaja membeli motosikal terbabit.

Mengulas lanjut, Awang berkata siasatan kes dibuka di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.