Tentera Darat Wilayah II masih jalankan kawalan ketat di perairan Sabah

0

KUCHING: Kawalan ketat oleh anggota Tentera Darat Wilayah II masih dijalankan di perairan Sabah berdekatan dengan kepulauan Filipina.

Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, ia ekoran keadaan berjaga-jaga oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas Ops Daulat dilancarkan Februari lepas.

“Memadai saya menyatakan bahawa kita ada lebih kurang lapan batalion yang terdiri daripada tidak kurang 600 hingga 800 orang dalam setiap batalion.

“Dan dua batalion bertugas di bawah ESSCOM ekoran Ops Daulat di perairan Sabah sekarang.

“Setakat ini, pihak kita masih berkawal untuk tujuan keselamatan dan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga bagi penduduk yang tinggal di Lahad Datu, begitu juga di perbatasan,” ujarnya selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban Tahun 1432H/2013M Peringkat 1 Divisyen Kawasan Kuching, semalam.

Majlis dimulakan dengan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Pegawai Staf 2 Agama Markas 1 Divisyen, Mejar Muhamad Rasul Mohamad Kadir serta khutbah di Masjid Solahuddin Al Ayubbi, Kem Penrissen.

Ia diteruskan dengan acara penyerahan pisau sembelihan oleh Pegawai Staf 2 Agama Markas 3 Briged, Mejar Mohd Zaman Ismail seterusnya menyembelih 11 ekor lembu dan seekor kambing korban.

Menyentuh mengenai majlis tersebut, Zaki berharap Hari Raya Aidiladha tahun ini akan membawa kebahagian, kesejahteraan dan keharmonian kepada semua pihak.

“Tidak lupa juga seluruh warga anggota yang bertugas di perbatasan dan perairan negeri Sabah,” katanya.

Majlis turut dihadiri Datin Noraihan Ibrahim, Panglima 3 Briged Brigadier Jeneral Mohd Nazir Mami, Ketua Staf 1 Divisyen Kolonel Mohd Mahmud Ahmad dan Ketua Staf 3 Briged Leftenan Kolonel Hashim Osman.