Tiada dokumen: Warga asing dipenjara, sebat

0

KOTA KINABALU: Empat warga Filipina dijatuhkan hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin kerana tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen yang sah.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Amirtaza Timpahan @ Amin Kedra, 20, yang didapati melakukan kesalahan itu pada 19 Jun lalu kira-kira jam 3.40 petang di sebuah kawasan pembinaan di Inanam.

Atas kesalahan itu, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 16 bulan dan satu kali sebatan rotan serta dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah menjalani hukuman.

Sementara itu, Ahmad Ismael, 30, mengaku bersalah atas kesalahan sama iaitu berada dan tinggal di negara ini tanpa pas atau dokumen yang sah.

Ahmad didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Julai lalu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Untuk itu, Azreena menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan serta dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Manakala Adrian Minya,19, dan Jaiwin Najal, 25, masing-masing mengaku bersalah setelah kertas pertuduhan dibacakan.

Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara  setahun serta dirujuk ke Jabatan Imigresen dan Jaiwin turut menerima satu sebatan.

Untuk itu, keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan hukuman denda RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebatan tidak lebih enam kali jika sabit kesalahan.