Lelaki didakwa rogol gadis bawah umur

0

Azuan tunduk ketika keluar dari kamar mahkamah.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Azuan Raim, 28, mengaku tidak bersalah merogol mangsa pada 15 September tahun ini jam 12 tengah malam di dalam sebuah kereta, di sebuah kampung di daerah Kota Belud.

Oleh itu, Hakim Ismail Brahim menetapkan pada 1 November tahun ini sebagai sebutan semula terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F Mirchelle Sambatan menolak tertuduh dibenar ditawarkan ikat jamin kerana tertuduh dan mangsa tinggal di kampung yang sama.

Bagaimanpun, Azuan memberitahu mahkamah bahawa dia dan mangsa tinggal di kampung yang berbeza.

Mahkamah menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM4,000 yang dicagarkan oleh dua penjamin tempatan.

Selain itu, tertuduh juga diperintahkan melaporkan diri sebulan dua kali di balai polis terdekat dan tidak dibenarkan berhubung dengan saksi-saksi pendakwaan.

Dalam kes berasingan, mahkamah menetapkan pada 13 hingga 14 Februari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap seorang lelaki tempatan yang didakwa atas dua pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen.

Ismail membuat keputusan itu terhadap Frederick Mathew, 45, yang mana kelmarin adalah untuk sebutan semula semakan waran tangkap terhadapnya.

Frederick didakwa menipu Ngon Hoo Han, 59, supaya menyerahkan geran asal dan kenderaan jenis Perodua Viva, bagi urusan jual beli kereta miliknya, serta tertuduh menyerahkan sekeping cek bernilai RM27,000, antara 1 hingga 15 Julai 2011 di Seraya B, Taman Putera Jaya, Telipok.

Pada 15 Julai 2011 jam 2.11 petang, di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah, tertuduh didakwa menipu Noraisah Abdillah, 41, untuk menyerahkan kad kereta dengan alasan membuat salinan, sebaliknya menyerahkan kepada pemilik asal Ngon.

Atas dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang mana sekiranya disabitkan bersalah boleh dipenjara sehingga sepuluh tahun dan sebatan, serta denda.

Tertuduh juga didakwa memalsukan satu dokumen borang JPJ bagi melakukan pindaan milik kenderaan jenis Perodua Viva ke atas namanya, pada 15 Julai 2011 di tempat yang sama.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.