Bunuh: Lelaki dirujuk ke Hospital Mesra

0

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin mengarahkan soerang lelaki warga asing yang didakwa membunuh seorang remaja lelaki dirujuk ke Hospital Mesra, bagi tujuan pemantauan.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru memerintahkan Arger Ambali, 23, dihantar ke hospital psikiatri berkenaan selepas membenarkan permohonan oleh peguam Ram Singh yang mewakili tertuduh.

Tertuduh didakwa membunuh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, di sebuah rumah di skim penempatan, Telipok, pada 8 November 2011 jam 4.45 petang.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga menetapkan pada 28 November tahun ini sebagai sebutan semula kes terhadap tertuduh yang didakwa pada 3 Mei tahun ini.

Dalam mahkamah berasingan, seorang lelaki tempatan, Roslan Simbar, 29, didenda sebanyak RM4,500 atau penjara sepuluh bulan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus atas kesalahan secara curang menyimpan harta curi.

Roslan mengaku bersalah memiliki wang tunai sebanyak RM1,500 dan beberapa kad prabayar bernilai RM500, milik seorang peniaga Pakistan berusia 42 tahun, di sebuah kedai runcit di Tuaran, pada 9 Oktober tahun ini.

Roslan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Cindy juga mengarahkan barangan berkenaan dikembalikan kepada pemilik asal.

Pendakwaan itu dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp Syahrin Ali.