Kastam Keningau lupus rokok, minuman keras bernilai RM356 ribu

0

KENINGAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia daerah ini telah melupuskan sejumlah 2.2 juta batang rokok dan hampir 50 ribu liter minuman keras pelbagai jenama yang dirampas melibatkan nilai yang tinggi RM356 ribu dengan anggaran cukai mencecah RM1.5 juta di sini kelmarin.

Dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, Timbalan Pengarah Kastam Sabah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Hamzah Sundang berkata proses pelupusan bagi siri 3/2013 membabitkan rampasan rokok seludup pelbagai jenama baru antaranya Aramaiti, Era, Astro, Gudang Garam, Jackman, Tex, Premium, LA, Marlboro, Blackjack, Absolute dan lain-lain lagi.

“Masyarakat juga digesa untuk sama-sama membanteras penyeludupan rokok-rokok seludup ini dengan tidak membeli rokok ini walaupun pada harga yang murah dengan keyakinan bahawa penjualan tidak berlaku jika tidak ada permintaan.

“Penjualan rokok-rokok seludup di pasaran gelap bukan sahaja merugikan kerajaan malah tidak melalui tapisan dari Kementerian Kesihatan dan boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Hamzah menggesa masyarakat untuk melaporkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengenai sebarang aktiviti penyeludupan yang berlaku di tempat mereka.

Mengenai pelupusan itu, beliau memberitahu ia bersesuaian dengan formula kerja Jabatan Kastam yang diperkenalkan oleh Ketua Pengarah Kastam, Dato Seri Khazali Ahmad iaitu SPEED.

Katanya bahagian penguatkuasaan Kastam Keningau telah melaksanakan proses pelupusan barang rampasan kali ketiga bagi tahun ini dan proses pelupusan yang dilaksanakan meliputi kes rokok dan minuman keras yang dirampas semasa penguatkuasaan sekitar kawasan Keningau, Tambunan, Tenom, Sook dan Nabawan.

Pelupusan yang dilakukan di sebuah kilang di sini pada jam 10 pagi itu diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan Kastam daerah, Winston Julian dibantu oleh Pegawai Penyiasat, Michael Asik, Ketua Unit Operasi, Latif Sarail dan pegawai-pegawai penguatkuasa Kastam.