KPDNKK rampas 50,000 liter minyak diesel

0

JOE Azmil (dua kanan) bersama penguatkuasa KPDNKK memeriksa tong dram berisi minyak diesel.

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini berjaya merampas lebih kurang 50 ribu liter minyak diesel dalam serbuan di sebuah kawasan kilang terbiar di Jalan Gereja, Batu 9, kelmarin.

Rampasan membabitkan dua tangki minyak diesel yang masing-masing berisi 20 ribu liter minyak serta beberapa tong dram yang dianggarkan mengandungi 10 ribu liter minyak.

Ketua Cawangan KPDNKK Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata nilai rampasan dianggarkan bernilai RM100 ribu dan ia merupakan rampasan terbesar membabitkan minyak diesel di daerah ini setakat Oktober.

“Ketika serbuan kira-kira jam 1.30 petang, para penguatkuasa juga ternampak kelibat dua lelaki termasuk seorang remaja dan seorang dewasa yang melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Kita percaya kedua-dua lelaki itu merupakan pekerja ataupun penjaga di kawasan ini dan minyak yang dirampas dipercayai untuk dijual ke industri lain di sekitar Sandakan,” katanya ketika ditemui pemberita kelmarin.

Untuk rekod, KPDNKK Sandakan telah mencatatkan 20 kes rampasan minyak diesel termasuk kes ini bermula Januari hingga Oktober ini.

Beliau turut meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan.

Serbuan berkenaan disertai oleh enam orang penguatkuasa dari KPDNKK Sandakan serta anggota polis.

Para penguatkuasa kemudian turut mengambil sampel minyak untuk analisis susulan dan kesemua barang rampasan akan disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.