Pemandu lori maut, dua kelindan cedera

0

BELURAN: Seorang pemandu lori maut manakala dua kelindannya mengalami cedera ringan setelah lori yang dipandu terbabas sebelum terbakar di Kilometer 65, Jalan Beluran-Telupid, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi, mangsa yang maut dikenali sebagai Maurice Hiew, 44, manakala dua kelindan, Inuan Latip, 23, dan Japur Arif, 25, cedera ringan, selepas ketiga-tiganya tercampak keluar dari lori kontena terbabit.

Ketua Polis Daerah, DSP Sivanathan A/L Velautham berkata ketika kejadian lori berkenaan membawa muatan barangan runcit dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

Menurutnya, pemandu lori itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terbalik sebelum terbakar di tempat kejadian berhampiran Kampung Telupid.

Beliau berkata dua rakan sekerja mangsa turut tercampak keluar dari lori dan mengalami cedera ringan.

Sivanathan berkata kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Beluran dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Punca kejadian masih dalam siasatan, katanya.