Pembangkang guna isu kalimah untuk raih undi

0

KUCHING: Pihak pembangkang dilihat cuba meraih undi dari masyarakat Bumiputera di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan isu kalimah ‘Allah’ yang kini hangat diperkatakan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pihak pembangkang segaja menggunakan isu sensitif itu untuk mendapat simpati dan sokongan rakyat agar menentang kerajaan Barisan Nasional(BN).

“Pembangkang sengaja memperbesarkan isu ini bagi memberi suasana keruh masyarakat Bumiputera bukan Islam di sini terhadap kerajaan BN kerana mereka tahu Sarawak dan Sabah merupakan pendeposit undi terbesar BN.

“Dengan menggunakan isu ini mereka cuba memikat hati masyarakat Bumiputera bukan Islam untuk menentang kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Muktamar Masjid-masjid Negeri Sarawak di Hotel Four Point di sini semalam.

Daud memberitahu, kerajaan mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu kalimah itu supaya tidak menimbulkan sebarang kesulitan kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Beliau menjelaskan, penganut Kristian di negeri ini sudah menggunakan Kitab Injil bahasa Melayu lebih 100 tahun yang didapatkan dari negara jiran.

“Mereka telah menggunakannya sejak sekian lama dan mereka menggunakan kalimah itu bukanlah bermaksud untuk mengkristiankan orang Islam tetapi tujuan mereka adalah ikhlas (merujuk kepada Tuhan mereka).

“Sebab itu kita minta kerajaan persekutuan menjelaskan keputusan muktamad kerana kita di Sarawak dan Sabah belum diperjelaskan keputusan mengenai isu kalimah ini,” jelasnya.

Justeru, Daud mengutuk tindakan pembangkang yang cuba mencetuskan kemarahan rakyat dengan memainkan sentimen sensitif itu dalam usaha memancing sokongan.