Wujudkan pegawai kader

0

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mencadangkan 31 agensi polis bantuan di negeri ini supaya mewujudkan pegawai polis kader masing-masing.
Beliau berkata cadangan itu bagi membantu agensi itu sendiri kerana pegawai kader berkenaan tetap menjalankan tugas kepolisan di agensi itu.

Menurutnya, dengan adanya khidmat pegawai kader, ia mampu memberi khidmat secara terus kepada agensi itu kerana mempunyai hubungan terus kepada balai polis.

“Pegawai kader ini sentiasa mendapat maklumat secara terus daripada pihak berkuasa dan balai polis maka dengan itu ia mampu membantu dari segi kawalan dan keselamatan.

“Pegawai kader ini masih berkhidmat dengan polis cuma apa yang berbeza, gajinya akan dibayar oleh agensi berkenaan dengan kontrak daripada pihak kita selama dua tahun,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agensi-agensi Polis Bantuan Kontinjen Sabah, di sini kelmarin.

Beliau berkata di Sabah belum ada lagi pegawai polis kader dan Sabah mempunyai kawasan yang luas dengan jumlah polis bantuan yang ramai.

“Contohnya, Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) mempunyai kawasan yang sangat luas untuk dikawal. Adalah lebih baik agensi besar seperti Felda mewujudkan seorang pegawai kader,” katanya, sambil menjelaskan terdapat 3,921 anggota polis bantuan di seluruh negeri.

Sementara itu, Hamzah dalam ucapannya berkata polis bantuan memainkan peranan yang besar dalam usaha membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga ketenteraman awam dan keselamatan.

“Secara tidak langsung peranan polis bantuan telah membantu meringankan beban PDRM dalam turut sama menjaga keselamatan nyawa, harta benda dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau juga menggalakkan agar penambahan polis bantuan dilakukan bagi membantu usaha membanteras jenayah.