30 pekerja warga asing tinggal sehelai sepinggang kuarters mereka terbakar

0

TINGGAL ARANG: Keadaan kuarters pekerja mangsa yang musnah dijilat api dalam kebakaran di Taman Tunku, Miri pagi semalam.

MIRI: Seramai 30 pekerja warga asing tinggal sehelai sepinggang setelah kuarters kediaman mereka musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di kawasan Taman Tunku di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada se­barang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan me­mandangkan semasa kejadian semua penghuni kuarters sepanjang 13 pintu itu keluar bekerja.

Difahamkan, semua mang­sa berasal dari Indonesia dan bekerja di sebuah syarikat yang menyediakan khidmat landskap keluar bekerja sea­wal jam 6 pagi.

Manakala kebakaran ber­mula sekitar jam 7 pagi itu mula disedari oleh beberapa pekerja di tapak pembinaan berdekatan yang ternampak kepulan asap dan kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk men­dapatkan bantuan.

Berikutan itu, sepasu­kan bomba terdiri daripada tujuh anggota dan sebuah jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri bergegas ke tempat kejadian dan tiba beberapa minit ke­mudian.

Semasa bomba tiba, lebih sebahagian daripada kuar­ters berkenaan yang dibina daripada kayu musnah dijilat api.

Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih belum diketahui dan pihak bomba melakukan siasatan terperinci.