Dua warga asing dituduh mencuri wang mesin ATM

0

MARAN: Dua lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencuri wang daripada mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sini awal bulan ini.

Carlos Roberto Gonzales, 55, warga Argentina dan Timoteo Bartolome, 31, warga Peru dituduh melakukan jenayah tersebut antara jam 3 hingga 5 pagi di ATM Bank Rakyat di sini 9 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dalam bahasa Inggeris dibacakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Ridzwan Seman manakala tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan Majistret Rini Triani Mohamad Ali menetapkan 20 Nov untuk sebutan semula kes. — Bernama