Keluarga Angelin ke Selatan Laos, tunggu mayat ditemui

0

GEORGE TOWN: Keluarga Angelin Teh yang disahkan maut dalam nahas pesawat di selatan Laos Rabu lepas, akan terbang ke negara itu lewat semalam bagi urusan pengecaman dan membawa balik mayat.

Jurucakap keluarga yang enggan namanya disiarkan, berkata mereka akan berada di Laos sehingga mayat Angelin dan suaminya Joel Babcock ditemui untuk dibawa pulang ke Pulau Pinang.

“Kami dalam keadaan sedih dan saya mewakili keluarga Angelin tidak ada apa-apa untuk dikatakan kerana sehingga kini mayat beliau dan suami masih belum ditemui,” kata wanita itu yang mengaku ibu saudara Angelin, ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan Angelin satu-satunya rakyat Malaysia yang terbunuh dalam nahas pesawat di Pakse, selatan Laos tiga hari lepas.

Angelin, 24, dan suaminya yang berkerakyatan Amerika Syarikat, dalam perjalanan dari Vientiane ke Pakse apabila pesawat itu terhempas ke dalam Sungai Mekong ketika cuaca buruk. Pasangan itu antara 49 yang terkorban.

Menurut jurucakap itu lagi, Angelin mengikut suaminya yang bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah antarabangsa Laos sejak tiga tahun lepas. — Bernama