Penjagaan luka semakin penting

0

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam semalam menggesa agar lebih banyak tumpuan diberi terhadap pengetahuan, teori dan latihan berkaitan pengurusan penjagaan luka bagi mencegah atau meminimumkan komplikasi akibat luka yang tidak dirawat hingga sembuh.

Katanya berikutan jumlah pesakit kencing manis yang begitu ramai di Malaysia, penjagaan luka menjadi semakin penting, terutama bagi mencegah pemotongan kaki akibat komplikasi penyakit itu.

“Diabetes Mellitus di Malaysia mencapai jumlah luar biasa apabila 20 peratus daripada jumlah penduduknya mengalami penyakit yang boleh melemahkan tubuh ini.

Kajian menunjukkan 25 peratus daripada pesakit kencing manis akan menderita  komplikasi kaki akibat kencing manis.

“Ini bererti, kita akan berdepan dengan 1.4 juta pesakit yang mengalami luka,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Luka Antarabangsa 2013 di sini. Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Global Wound Care Made Local’dianjurkan Malaysian Society of Wound Care Professionals (MSWCP).

Subramaniam berkata kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi pengurusan luka dan kajian di tujuh hospital pakar serta negeri pada 2007 mendapati kira-kira RM1 juta dibelanja untuk membeli produk berkaitan rawatan luka setiap bulan.

“Ini menunjukkan bahawa banyak wang dilabur untuk merawat luka dan oleh itu, ia perlu diurus dengan berhemat serta secara pelbagai disiplin dan komprehensif,” katanya.

Presiden MSWCP Dr Harikrishna K.R. Nair berkata persidangan itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan MSWCP menunggu kedatangan 18 Okt untuk disambut sebagai Hari Penjagaan Luka.

Beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan World Union of Wound Healing Society (WUWCS) dan Asian Academy of Wound Technology (AAWT) untuk melaksanakan program pendidikan pengurusan luka bagi tenaga profesional dalam bidang penjagaan kesihatan di Malaysia.

WUWCS diwakili bakal presidennya Prof Sadanori Akita, manakala Prof Luc Teot mewakili AAWT. — Bernama