Dua pelajar Kolej SEGi Sarawak menerima anugerah dekan UIU

0

KUCHING: Dua pelajar jurusan Program Ijazah Amerika (ADP) Kolej SEGi Sarawak menerima anugerah dekan dari Universiti Iowa Tinggi (UIU), Amerika Syarikat setelah berjaya mendapat keputusan purata nilai gred 4.0 dalam satu majlis penyampaian anugerah di sini.

Pelajar tersebut ialah Allister Kuek Mong Yee dan Lim Chiaw Soon.

“Saya amat berbangga di atas penganugerahan ini dan sejujurnya untuk sampai ke tahap anugerah dekan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana syarat yang ditetapkan oleh UIU agak tinggi,” kata Lim ditemui selepas penganugerahan itu.

Selain berjaya membuktikan kebolehan dalam bidang akademik, Lim dan Kuek juga aktif dalam kelab yang diceburi di kolej di samping juga memegang jawatan sebagai presiden kelab.

Selain itu, Kuek juga merupakan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kolej SEGi Kampus Sarawak.

“Menuntut dalam jurusan ADP sangat mencabar, tetapi apa yang saya capai hari ini benar-benar memberi semangat dan motivasi kepada saya untuk menggapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa akan datang.

“Walaupun merupakan jurusan yang mencabar, ia tetap tidak menghalang saya untuk bergiat aktif melibatkan diri dalam kelab seperti Kelab Bola Keranjang dan Kelab Pengajian Bible.

“Bagi saya, melalui penglibatan ini saya dapat mendalami ilmu yang lain dan membantu saya mengetahui lebih banyak lagi tentang hidup,” kata Lim.

Kuek berkata, dia amat mementingkan kestabilan dalam pembahagian masa belajar mahupun beraktiviti kelab dan menyifatkan disiplin diri sangat penting dalam mengekalkan kedua-dua aspek tersebut untuk berjaya.

“Perancangan yang baik merupakan rahsia saya, bila waktu bermain saya akan bermain dengan kuat, apabila masuk waktu belajar, saya akan belajar dengan kuat.

“Tiada apa yang mustahil adalah ungkapan yang saya jadikan sebagai moto hidup saya,” katanya.

Selain itu, Kuek memberitahu ADP merupakan program yang fleksibel di mana ia memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir secara kritis kerana para pelajar diberi kesempatan untuk berkongsi pendapat ketika pembelajaran berlangsung.

“Melalui ADP, saya belajar untuk berfikir secara kritikal dan berdikari, selain pada masa sama ia mengajar saya untuk bekerja bersama-sama dengan orang lain.

“Selepas selesai dalam pengajian jurusan ini, saya akan menyambung pelajaran dalam bidang yang sama kerana saya percaya pembelajaran tidak akan berhenti di situ sahaja,” tambah Lim.

Kuek dan Lim yang sudah bekerja pada masa kini dan akan menghadiri majlis konvokesyen pada Oktober ini turut menyarankan agar pelajar-pelajar yang masih meneruskan pengajian di kolej agar tidak putus asa dalam mendalami ilmu di bawah jurusan ADP.