Kerajaan terus bangunkan masyarakat luar bandar

0

SARIKEI: Kerajaan akan terus membangunkan masyarakat luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau berkata, adalah tidak adil jika kerajaan hanya memberi tumpuan pembangunan kepada masyarakat bandar, sedangkan penduduk di luar bandar juga perlu menikmati pembangunan yang serupa.

Justeru, katanya, kerajaan sentiasa memberi fokus kepada pembangunan luar bandar dari segi infrastruktur seperti menaik taraf jalan-jalan kampung dan menyediakan bekalan elektrik serta air bersih ke kawasan yang belum menikmatinya.

“Infrastruktur ini dilaksanakan kerana kerajaan berpendapat masyarakat luar bandar harus menikmati pembangunan sama seperti penduduk bandar,” ujarnya pada Majlis Bertemu Rakyat dan Majlis Dialog Bersama Kementerian Perumahan Sarawak di Rumah Lima Lijau, Batu 17, Julau dekat Sarikei kelmarin.

Harden berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya mempertikaikan projek-projek yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tidak perlu nak mempertikaikan projek-projek kerajaan BN. Kerja BN adalah untuk membangunkan rakyat dan menyalurkan pelbagai projek untuk rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan mengingatkan rakyat agar tidak menolak pembangunan yang dilaksanakan kerajaan kerana ia bukan sekadar untuk kesenangan masa kini, malah lebih penting kepada generasi akan datang.

Hadir sama tiga pegawai dari Kementerian Perumahan iaitu Mola Ugat, Jonathan Jana Anggat, Roie Kimpie serta Kaunselor Sawing Sumar dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simanggang Patrick Michael.