Sabah berharap Jalan Pan Borneo dilaksana segera

0

KOTA KINABALU: Sabah berharap pembinaan jaringan lebuh raya Pan Borneo menyambungkan Sabah dengan Sarawak dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata jaringan jalan raya moden sepanjang 2,300 kilometer itu akan mempermudahkan pengangkutan antara dua negeri itu selain meningkatkan pembangunan di kawasan terlibat dan sekitarnya.

“Kita berharap pelaksanaan jaringan jalan raya ini dapat dilakukan dengan secepat mungkin melalui peruntukan kewangan yang diperlukan, walaupun ia akan memakan belanja yang besar.

“Kita berpendapat bahawa perbelanjaan yang besar untuk infrastruktur asas tidak harus hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur kerana negeri-negeri seperti Sabah juga amat memerlukan pembangunan sebegini,” katanya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-28 di sini semalam.

Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. — Bernama