Gabungan pemimpin baharu, lama diyakini lonjak perjuangan PBB menuju kecemerlangan

0

BERGABUNG: Beberapa pemimpin baharu dan lama MT Bumiputera, PBB 2013-2016 meraikan kemenangan selepas keputusan pertandingan diumumkan pada sekitar jam 9.30 malam kelmarin di BCCK. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Gabungan pemimpin baharu dan lama dalam Majlis Tertinggi (MT) – Sayap Bumiputera, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2013-2016 diyakini akan memberi lonjakan kepada perjuangan parti terbesar di Sarawak itu untuk menuju kecemerlangan pada masa depan.

Menurut ADUN Pantai Damai yang juga salah seorang pemimpin baharu dalam MT tersebut, Dr Abdul Rahman Junaidi, keputusan pemilihan sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-13 itu telah menunjukkan kematangan ahli-ahli dalam memperkasakan parti.

“Gabungan antara pemimpin lama dan baharu telah dibuktikan.

“Harapan saya adalah semoga kita (pemimpin baharu dan lama) dapat bersamasama kepimpinan tertinggi membawa agenda pembangunan negeri supaya dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya yang ditemu bual selepas pengumuman keputusan pemilihan Ahli MT – Sayap Bumiputera, PBB 2013-2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

Justeru, Dr Rahman mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli parti yang telah memberi sokongan padu kepada ahli-ahli MT yang dipilih dalam perhimpunan kali ini, di mana beliau juga telah memperoleh undi kedua tertinggi.

Seorang lagi pemimpin baharu iaitu ADUN Saribas Ricky @ Mohammad Razi Sitam kemudian menyifatkan gabungan tersebut akan membantu membangunkan PBB sebagai sebuah parti yang kuat dan terus relevan di Sarawak.

“Saya yakin, sokongan yang diberikan kepada calon yang menang akan memberi signifikan kepada perjuangan parti untuk menuju kecemerlangan pada masa depan,” katanya.

Kejayaan dipilih dalam MT Bumiputera juga telah menjadi rahmat bagi Razi, yang meraikan hari jadi ke-40 hari ini.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan ia menjadi hadiah istimewa untuk hari jadi saya yang ke-40,” katanya sambil menyampaikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan kepercayaan kepadanya.

ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni yang juga seorang daripada pemimpin baharu berkata dengan adanya lonjakan kepimpinan melalui pemimpin baharu, PBB diyakini akan mencapai segala matlamatnya.

“Kami (pemimpin baharu) boleh memberikan banyak idea baharu kepada pucuk pimpinan dan membawa cara baharu untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan sistematik,” katanya.

Bagi pemimpin lama Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, beliau berbangga dengan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan dalam perhimpunan kali ini.

“Ahli-ahli parti telah menunjukkan semangat kerjasama dan ingin merapatkan hubungan antara satu sama lain.

“Saya yakin, pemimpin lama dan baharu akan bekerjasama dalam satu pasukan,” katanya.

Pertandingan MT Kuota Bumiputera sempena Konvensyen PBB 2013 yang berlangsung kelmarin menyaksikan seramai empat pemimpin baharu dipilih iaitu Dr Rahman, Razi, Dr Hazland dan Datu Len Talif Salleh.

Manakala pemimpin lama yang kekal ialah Dr Abdul Rahman Ismail, Ali, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahmad Lai Bujang, Datuk Idris Buang, Murni Suhaili dan Datuk Aidan Wing.

Sementara MT Sayap Pesaka (Iban, Bidayuh dan Orang Ulu) PBB 2013-2016 menyaksikan semua penyandang menang tanpa bertanding.

Mereka terdiri daripada Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Benedict Bujang Tembak dan Watson Bangau (Iban), Datuk Dr James Dawos Mamit, Datuk Frederick Bayoi Manggie dan Datuk Roland Sagah Wee Inn (Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong dan Mujah Lihan (Orang Ulu).