Mayat Wanita Filipina dijumpai terapung di laut

0

SANDAKAN: Mayat seorang wanita warga Filipina yang cuba melarikan diri dari ditahan oleh Pasukan Polis Marin selepas bot laju yang mereka naiki terbalik telah dijumpai terapung di Laut Nunuyan dekat sini, pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Fadzil Mohd Ali berkata wanita berkenaan dikenali sebagai Marites Blace berumur lingkungan 30an berasal dari Manila.

“Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi, seorang pengawal keselamatan berumur 46 tahun yang sedang menunggu bot penumpang di jeti Kampung Nunuyan untuk ke Sandakan telah terlihat satu mayat perempuan terapung-apung di laut,” katanya.

Fadzil berkata pengawal keselamatan itu kemudiannya memaklumkan kepada pemimpin kampung serta penduduk sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Katanya siasatan mendapati wanita itu merupakan salah seorang dari enam wanita yang cuba masuk ke negara ini secara haram dengan menaiki bot laju yang telah terbalik apabila dikejar oleh polis marin dekat perairan itu pada hari yang sama.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, pasukan polis marin telah menyelamatkan lima wanita yang terhumban ke laut selepas bot laju berkenaan terbalik.

“Lima wanita yang diselamatkan itu kini ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Fadzil berkata mayat mangsa telah disahkan oleh kelima-lima rakannya, di mana mangsa dipercayai cuba melarikan diri bersama juragan bot dengan berenang selepas bot laju mereka terbalik.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat, katanya.