SIBU: Penduduk di daerah Song di sini kini mempunyai pilihan untuk pergi ke sini dengan menaiki bot ekspres ekoran beroperasinya sebuah bot ekspres baharu iaitu ‘Song Boleh’ diusahakan beberapa individu untuk kemudahan orang ramai.
Sebelum beroperasinya ‘Song Boleh’, penduduk Song terpaksa menggunakan bot ekspres dari Kapit untuk ke sini dan sebaliknya.
Bagaimanapun, kini penduduk di Song mempunyai pilihan dengan menaiki ‘Song Boleh’ yang beroperasi secara terus dari Song ke Sibu dan sebaliknya tanpa singgah di tempat lain.
Ini adalah suatu keselesaan bagi penduduk di Song.
Menurut salah seorang pemilik bot ekspres terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, bot ekspres itu mula beroperasi seminggu lalu dan mengadakan perjalanan terus dari Song ke Sibu dan kemudian balik ke Song.
Beliau berkata, bot ekspres itu bertolak dari Song ke Sibu pada jam 8.30 pagi dan dari Sibu ke Song pada jam 12.30 tengah hari setiap hari bagi menyediakan pengangkutan lebih selesa kepada orang ramai dan mengurangkan kesesakan.
Perjalanan dari Song ke Sibu mengambil masa selama dua jam.
Sebelum ini, Song memiliki bot ekspres yang menyediakan perkhidmatan serupa tetapi perkhidmatannya dihentikan sejak beberapa tahun lalu.