PPM Semporna tumpaskan penyeludupan petrol

0

ANGGOTA PPM Semporna merampas 1,650 liter petrol bersubsidi daripada dua bot pam.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini berjaya menumpaskan dua cubaan bot pam menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi sebanyak 1,650 liter ke negara jiran di perairan Pulau Larapan kira-kira jam 9.30 malam Selasa lepas.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohammad Madun kejayaan terbaharu itu direkodkan oleh lima anggota PPM Semporna yang menjalankan Op Landai menggunakan Bot Ronda PSC54.

“Selain bahan bakar itu, kita juga berhasil merampas empat unit enjin bot dan dua bot pam menjadikan nilai keseluruhan rampasan kita berjumlah kira-kira RM12,665 bersama empat suspek warga asing (20an hingga 50an) yang turut diberkas,” katanya di sini kelmarin.

Mohammad berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak ada sebarang dokumen yang membenarkan mereka membawa bahan bakar bersubsidi terbabit.

Beliau berkata kejayaan itu dicatatkan selepas pasukannya memintas kedua-dua bot pam terlibat yang berada dalam keadaan mencurigakan dan sedang bergerak keluar dari perairan negara menuju ke sempadan negara.

“Kesemua minyak petrol ini kita temui disimpan di dalam 50 tong plastik (30 dan 25 tong plastik) di kedua-dua bot pam terbabit,” katanya sambil menegaskan siasatan dibuka di bawah Akta Kastam atas kesalahan menyeludup.