Tiga kedai perabot dipecah masuk, mangsa rugi RM30,000

0

TINGKAP kedai Navinci Collection dipecahkan sebelum dimasuki.

KOTA KINABALU: Dalam tempoh tidak kurang daripada dua minggu, tiga buah kedai perabot telah dipecah masuk sebanyak dua kali dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM30,000.

Ketiga-tiga kedai perabot berkenaan adalah Casa, Home Square dan Navinci Collection, yang terletak bersebelahan di antara satu sama di Sadong Jaya, di sini.

Penyelia Perabot Casa, Thomas berkata kali pertama kedainya dipecah masuk pada tengah malam 9 Oktober.

“Perompak berkenaan memasuki kedai dari arah depan dengan memecahkan tingkap kaca, ketika itu mereka hanya mencuri beberapa gulung wayar elektrik dari kedai.

“Kejadian kali kedua pula berlaku seminggu kemudian iaitu pada 16 Oktober, yang mana mereka mencuri beberapa telefon bimbit dengan gerudi elektrik,” katanya kepada media ketika ditemui, kelmarin.

Sementara itu, Pengurus Home Square, Adrian berkata kedainya telah dipecah masuk pada 18 dan 19 Oktober.

“Pencuri berkenaan juga masuk daripada pintu hadapan dengan memecahkan pintu kaca yang ada.

“Berdasarkan rakaman CCTV dari kedai kami, rompakan itu dilakukan oleh tiga orang,” katanya sambil menambah, pencuri terbabit melarikan diri melalui pintu belakang.

Adrian berkata antara barangan yang dicuri dari kedainya adalah telefon bimbit, kamera, komputer riba, gerudi elektrik dan wang tunai.

Manakala kedai yang ketiga adalah Navinci Collection yang dipecah masuk pada 20 dan 21 Oktober.

Pengarah Navinci Collection, Lim berkata cara yang digunakan oleh para perompak sama seperti kedai-kedai yang lain.

“Pencuri itu juga masuk dari pintu hadapan dengan cara memecahkan tingkap kaca.

“Apabila berjaya masuk, mereka mencuri sebuah TV Plasma dengan beberapa bantal di atas rak,” katanya.

Lim berkata barangan lain yang turut sama dicuri ialah tiga buah televisyen, dua pemain DVD, sebuah amplifier, ipad dan sebuah telefon bimbit Nokia.

“Selepas kejadian itu, kami segera membuat laporan polis dan menggantikan tingkap kaca pecah,” katanya.

Beliau berkata ia adalah kali kedua beliau menukar tingkap kacanya yang pecah dalam masa dua hari.

Kata Lim, kejadian itu adalah kali pertama berlaku apabila tiga buah kedai dipecah masuk dalam tempoh seminggu.

“Kita harap pihak polis akan membuat rondaan di kawasan ini, terutamanya pada waktu malam.

“Walaupun semua kedai diterangi dengan cahaya lampu pada waktu malam tetapi pencuri tetap berani menjalankan kegiatan mereka,” katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan secepat mungkin dan membuat rondaan di kawasan itu dari masa ke semasa.