Kejayaan Ahmad Lai perkukuh kedudukan BN di Miri, Sibuti

0

MIRI: Kejayaan Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang mengekalkan jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di kawasan Miri dan Sibuti.

Timbalan Ketua PBB Bekenu Kaunselor Jamali Basri menyifatkan kemenangan Ahmad Lai itu sebagai satu keperluan lebih-lebih lagi dalam persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

“Kemenangan beliau sebagai salah seorang daripada ahli MT bakal menguatkan suara dalam parti dan bagi BN di kawasan Miri dan Sibuti,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, wakil MT adalah sesuatu yang amat kritikal dan diperlukan terutama bagi kawasan Miri yang kini kebanyakan wakil rakyatnya terdiri daripada parti lawan iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Dengan beliau sebagai MT dalam PBB, sedikit sebanyak suara parti akan lebih lantang di Miri,” jelasnya.

Pada masa sama, Jamali turut berterima kasih kepada perwakilan yang memberi kepercayaan kepada Ahmad Lai untuk terus memegang jawatan berkenaan.

Ahmad Lai berjaya mengekalkan jawatan untuk MT bagi penggal kedua dan kali pertama beliau memegang jawatan berkenaan adalah pada 2006.

Selain beliau, antara 10 MT yang lain termasuk Dr Abdul Rahman Ismail, Dr Abdul Rahman Junaidi, Datu Len Talif Salleh, Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ahli MT seterusnya adalah Datuk Idris Buang, Ricky@ Mohammad Razi Sitam, Dr Hazland Abang Hipni, Murni Suhaili dan Datuk Aidan Wing di mana semuanya untuk kuota Bumiputera.

Manakala jawatan sama bagi kuota Pesaka tidak dipertandingkan yang kini disandang oleh Datuk Gramong Juna, Datuk Seri James Dawos Mamit, Datuk Henry Sum Agong, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Datuk Ambrose Blikau Enturan, Martin Ben, Daniel Jubang Kanyan, Watson Bangau dan Michael Mujah Lihan.